Haid atau juga dikenali sebagai pendarah haid, datang bulan, atau uzur.
Pendarahan haid merupakan tanda seseorang wanita tidak hamil.
(Bagaimanapun, ini bukan pasti, karena kadang-kala terdapat sedikit
pendarah semasa tempoh awal mengandung yang dikenali sebagai bunting pelanduk
dikalangan orang Melayu.) Semasa tahun wanita subur, ketiadaan haid
merupakan tanda pertama kepada wanita bahawa dia mungkin mengandung.
Proses haid akan membuang keluar darah, mukus dan sel-sel yang sudah
mati. Proses ini berlaku dalam tempoh yang agak tetap daripada masa akil baligh sehinggalah menopaus
(putus haid) kecuali semasa mengandung dan penyusuan. Proses haid
bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadang kala seawal umur 10
tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun. Permulaan haid banyak bergantung
kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik,
suhu persekitaran dan pemakanan.
Putus haid berlaku pada purata umur 47
tahun (julat umur antara 45 hingga 55 tahun). Purata tempoh kitaran
haid bagi wanita yang biasa ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap
sebagai hari pertama bagi setiap kitaran baru. Setiap kitaran bagi
seorang wanita yang biasa dan sihat ialah antara 20 hingga 45 hari.
Perbezaan tempoh kitaran bergantung kepada umur. Tempoh aliran keluar
haid juga berbeza-beza.
Purata kitaran haid ialah 6.6 hari manakala pada umur 21 tahun,
purata tempoh haid menjadi enam hari sehinggalah mencapai tahap putus
haid. Lebih kurang lima peratus perempuan yang sihat datang haid kurang
daripada empat hari dan lima peratus lagi perempuan yang mengalami lebih
daripada lapan hari. Jumlah purata darah dan tisu yang hilang semasa
kedatangan haid ialah 70 mililiter.
Wanita yang berumur kurang daripada 35 tahun akan kehilangan darah
lebih banyak berbanding wanita yang berumur 35 tahun ke atas. Jumlah keseluruhan cecair badan yang hilang semasa haid ialah antara 60 hingga 200 mililiter.
Sesetengah perempuan akan mengalami simptom atau gejala yang tidak
selesa dalam tempoh haid tersebut. Dalam tempoh tersebut, wanita akan
mengalami masalah seperti sakit kepala, pengumpulan cecair, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang, kesakitan dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan perasaan.
Kehadiran dan keterukan gejala ini berbeza-beza di kalangan perempuan. Masalah ini boleh dibantu oleh ahli farmasi
atau diurus sendiri oleh perempuan tersebut. Mereka yang mengunjungi
kedai farmasi akan ditemu bual untuk memastikan keterukan masalah dan
sama ada perempuan berkenaan harus mendapatkan pemerhatian doktor. Temu
bual ini juga dapat membantu ahli farmasi untuk menilai masalah pesakit
dan memilih atau menyarankan ubat yang sesuai dan berkesan bagi
mengatasi masalah tersebut.
No comments:
Post a Comment